Nota Editor:Kami adalah peminat siri televisyen CSI Las Vegas yang mana adalah berkisar tentang kisah-kisah jenayah yang berlaku di bandar Las Vegas. Selepas bertahun-tahun menonton sudah pasti pemikiran kami sudah di brainwash tentang kehidupan di sana yang dipotretkan sebagai liar dan merbahaya. Tambahan pula jika anda bertanya apakah satu perkataan untuk menggambarkan Las Vegas, sudah pasti anda akan memilih ‘kasino’. Tak kenal maka tak cinta bukan, adakah benar Las Vegas adalah bandar yang menawarkan hiburan semata?  Merungkai persoalan ini kami kongsikan artikel tulisan Hadhinah Felice, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Las Vegas.


 

MITOS MENGENAI KEHIDUPAN DI LAS VEGAS

Bukan sekali tapi banyak kali bila saya kata saya tinggal di Las Vegas lalu orang berkata “wah berat ya dugaan duduk di Las Vegas”, “wah tak rasa berdosa ke duduk di tempat macam itu?”, dan lain-lain lagi yang menyakitkan hati yang mana saya tahu orang yang berkata seperti ini cuma pernah lihat Vegas di kaca TV ataupun pergi cuma ke Las Vegas Boulevard di mana hiburan Vegas terletak.

Realitinya, Las Vegas ini ialah sebuah bandar seperti bandar-bandar lain di dunia, yang mana ia jauh lebih dari bandar hiburan. Berikut ialah mitos-mitos atau salah anggapan mengenai Las Vegas dan penduduknya:

1. Orang yang datang ke Las Vegas hanyalah untuk berjudi

ohkembara.com_las-vegas-mountain
Di keliling kami banyak gunung, dan rupa Las Vegas di luar jalur hiburan yang sangat kecil itu ialah cantik dan normal, iaitu seperti ini.

Salah. Las Vegas bukan hanya tempat judi. Kerana lokasinya yang strategik, persidangan/convention banyak diadakan di sini yang selalunya berkaitan keusahawanan ataupun akademik. Kami juga punyai banyak tempat menarik untuk dilawati di mana kawasan canyon serta tasik, gunung dan kolam-kolam air panas semulajadi hanya 30 minit hingga sejam pemanduan dari Las Vegas. Kawasan perumahan di sini juga kelihatan agak sama seperti kawasan perumahan di Malaysia cuma tak banyak bangunan tinggi-tinggi.

2. Apa yang ada di Las Vegas hanyalah Las Vegas Boulevard atau The Strip

Salah. Jalur hiburan Las Vegas atau The Strip itu cuma satu jalan sepanjang 6.8 km di mana hotel-hotel, lampu bergemerlapan dan kasino terletak yang pasti dikunjungi oleh pelancong. The Strip itu cuma 1% dari Las Vegas. Las Vegas punyai 2 juta penduduk. Jadi boleh bayangkan 1% itu cuma sekelumit. Di luar jalur hiburan ini, kami ada banyak bahagian-bahagian bandar besar yang berfungsi seperti bandar normal, serta kawasan gurun yang cantik dengan gunung ganang juga kawasan perumahan yang juga normal dan jauh dari kasino dan sebagainya. Pelancong biasanya takkan keluar dari jaluran 6.8 km tersebut maka dengan itu mereka tak tahu keadaan di luar kawasan hiburan ini.

3. Penduduk Las Vegas semuanya suka berparti dan berjudi

ohkembara.com_las-vegas-scenery
Kawasan perumahan di Las Vegas kelihatan seperti ini. Waktu malam juga gelap di sini, cuma ada lampu jalan, bukan lampu lip-lap.

Salah. Kami penduduk Las Vegas punyai kehidupan normal dan punyai pekerjaan normal seperi arkitek, jurutera, guru, penjawat awam lain, serta pekerjaan lain yang normal, bukan hanya di kasino atau di kelab malam. Saya dan suami serta penduduk tetap Las Vegas jarang ke The Strip untuk berjalan-jalan apatah lagi ke kasino untuk berjudi juga untuk berparti setiap malam kerana orang Las Vegas juga punyai kehidupan seperti orang di bandar-bandar lain. Jalur hiburan itu selepas 3 hari anda di situ memang pasti bosan percayalah!

4. Hidup di Las Vegas sangat mahal dan hanya untuk orang kaya yang suka berjudi

Salah. Satu fakta yang paling penting untuk diingat ialah Nevada merupakan salah satu daripada 7 negeri di Amerika Syarikat yang diberikan pengecualian “income tax” atau cukai pendapatan. Maka hartanah(harga beli/sewa rumah/premis dan sebagainya) di Las Vegas dan bandar lain di Nevada ialah jauh lebih murah dari bandar-bandar dan negeri-negeri lain di Amerika Syarikat. Contoh: Harga bilik sewa di NYC yang cuma sekangkang kera ialah lebih kurang $900-$1000 sebulan, dan harga sewa apartment pula ialah lebih $3000/bulan. Di Las Vegas, purata sebuah banglo sewa(3-5 bilik) ialah $2500-$4000 sebulan, manakala sewa apartment(1-3 bilik) pula ialah cuma $900-$1500. Nampak tak kenapa Las Vegas ialah pilihan yang baik dan menjimatkan bagi orang Amerika yang mahu berjimat?

5. Kami tidak ada banyak masjid di sini dan ramai orang Islam yang tinggal di bandar ini semuanya sesat

ohkembara.com_jamia-mosque-las-vegas
Salah satu masjid di Las Vegas, juga masjid di mana suami saya memeluk Islam. Dugaankah duduk di Las Vegas sebagai seorang Muslim? Tidak.

Seramai 10,000 orang Islam tinggal dan punyai kehidupan normal di Las Vegas. Kami juga punyai banyak masjid dan tidak tersekat untuk mengamalkan ajaran agama, berbeza dengan tohmahan orang ramai mengenai gaya hidup penduduk Las Vegas. Malah kami punyai banyak pasar daging halal, dan hampir semua supermarket akan ada makanan halal dijual di dalamnya.

Konklusi

Dengan itu…

Sebagai penduduk tetap Las Vegas, banyak lagi mitos yang boleh saya senaraikan yang semuanya tidak benar. Mereka yang pernah ke Las Vegas dan melihatnya lebih dari jalur hiburan itu pasti tahu bagaimana keadaan sebenar di Las Vegas.

Takda beratnya dugaan duduk di sini sebab rumah kami semua bukan di atas jalur hiburan itu. Pokoknya, kami penduduk Vegas tidak hiraukan dan tidak jakun dengan reputasi Vegas sebagai bandar hiburan kerana ia jauh lebih dari itu.

1 COMMENT

  1. Salam sis,
    Terima kasih atas info yang menarik.Saya akan menghadiri conference di Las Vegas awal tahun depan dan ingin bertanya dengan saudari mengenai penginapan dan transport di sana.Bole saya hubungi saudari melalui email?