Nota editor:Lain tempat lain cabarannya, apatah lagi jika berpuasa di luar negara yang suasananya berbeza dengan di tanah air sendiri. Ikut pengalaman penulis berpuasa di Amerika Syarikat sewaktu menuntut di sana antara tahun 1996-98.

Penulis boleh diikuti di akaun media sosial beliau Redah Travel USA.


Sekarang summer season atau musim panas di Amerika Syarikat. Summer di Oklahoma memang panas. Membahang sampai ke tengah malam. Waktu berpuasa ketika summer agak panjang. Di Oklahoma waktu berpuasa ketika summer lebih kurang 16 jam manakala di Alaska lebih dari 20 jam. Agak mencabar juga jika berpuasa di Alaska kan?

Nasib baik ketika kami di Oklahoma dulu, bulan puasa jatuh pada winter season atau musim sejuk. Waktu berpuasanya agak pendek, malah lebih pendek dari di Malaysia. Jam 5.30 pm dah masuk maghrib.

Pertengahan tahun 90an dulu ramai juga pelajar Melayu yang menyambung pelajaran di Oklahoma, salah sebuah negeri di Amerika Syarikat. Kebetulan belum sampai sebulan menjejakkan kaki di Oklahoma, dah masuk bulan Ramadan.

Berpuasa di AS tak semeriah di Malaysia. Tiada bazar Ramadan, payah nak cari akok. Orang yang bekerja tak boleh balik awal. Kelas siang tetap berjalan seperti biasa. Jadual kelas malam juga tetap seperti biasa, susah beno nak pergi terawikh. Alasan kan?

Yang sedikit meriahnya adalah bila sampai waktu berbuka puasa di Masjid. (Besarnya macam surau taman perumahan sahaja) Jangan kata di USA susah nak cari masjid. Dekat je dengan apartment yang Abe sewa, jalan kaki 10 minit dah sampai.

Maka bila dekat waktu berbuka berbondong-bondong budak Melayu lelaki dan perempuan akan datang berbuka puasa di masjid. Agaknya semua malas nak masak kat rumah. Lepas makan dan sembahyang maghrib kami dok melepak dan berborak. Masa inilah kami berkesempatan nak beramah mesra dengan budak Melayu lain.

Waktu berbuka inilah juga budak Melayu nak merasa pengalaman berbuka dengan juadah dari pelbagai negara lain. Bermacam-macam juadah baru yang budak Melayu belasah.

Majoriti muslim di sini ialah pak arab, Pakistan dan India. Budak Melayu hanya minority. Semestinya juadah utama ialah nasi arab lah. Budak Melayu panggil nasi arab ni nasi ayam kuah masam. Perisanya yang agak masam-masam sedikit. Ini nasi ayam versi pak arab. Nak lagi sedap makan dengan sos tabasco. Lepas tu minum air coke. Apalah pak arab ni. Budak Melayu pun dah belasah sama.

Diselang-seli dengan nasi biryani Pakistan / India. Portion lauk kambing dan ayam sepinggan / seorang makan tudiaa mak kau besar gedabak. Jika di Malaysia dah boleh 2 orang makan.

Yang paling tak boleh dilupakan makan nasi dengan kari kacang bendi. Semua orang menggeruk bawah periuk cari lauk daging dan ayam. Geruk punya geruk…rupanya memang tak ada lauk. Hanya kari kacang bendi sahaja haha.

Kadang-kadang ada juga pizza, tapi kena bayar! Budak Melayu mana nyer nak bayar. Baik makan yang free je.

Pernah juga persatuan pelajar Melayu buat juadah di masjid, masak bubur kacang. Mereka panggil Malaysian soup, wow Malaysian soup too sweet lah haha. Ikut hang lah.

Yang pastinya, sekarang masjid kecil ini sudah tiada, diganti dengan masjid yang lebih besar dan selesa di Peace Academy yang agak jauh dari University.

Masih ada lagi kah budak Melayu yang berbuka puasa di masjid baru? Masih ada lagikah sup manis Malaysia? Entahlah.

Selamat berpuasa untuk semua, semoga kau orang di bawah rahmat Allah SWT sentiasa.

VIAAbe Mus Depp
SHARE