Alhamdulillah walaupun belajar dan tinggal di negara bukan Islam budak-budak Melayu di Amerika masih lagi tidak lupa daratan, masih lagi berpuasa dan ingat tuhan. Walaupun di zaman Abe hampir 80% budak lelaki Melayu berambut panjang melepasi bahu. Don’t judge a book by its cover okay.

Budak Melayu, lelaki terutamanya memang kategori malas memasak, jika tidak berbuka di masjid kami akan buat lawatan mesra ketika hampir masuk waktu berbuka ke rumah budak-budak Melayu yang kategori rajin memasak haha. Mesti bengkek je tuan rumah kan? Tapi itulah.. nama pun serumpun. Lagipun Ini sahajalah muka Melayu yang ada. Inilah Melayu yang boleh di minta tolong jika ada sakit pening.

Kebiasaanya jadual dalam seminggu mesti ada 2 hari kelas petang merangkap malam. Kelas 3 jam (1 subjek) ini bermula dari pukul 4 pm dan berakhir pukul 7 pm.

Pukul 5.30 pm dah masuk maghrib (musim sejuk). Semua pensyarah yang kebanyakannya Mat Salih tahu yang kami sedang berpuasa. Diberinya kelonggaran waktu rehat yang secukupnya agar kami boleh berbuka dengan tenang. Walaupun berlainan agama mereka sangat bertoleransi dalam soal kepercayaan agama orang lain.

Tapi budak Melayu waktu rehat berbuka hanya dengan snack bar dan air coke yang dibeli dari vending machine serta rokok malboro putih sahaja. Dah boleh kenyang. Percaya tak? Mana adanya nak bawa bekal-bekal ni.. Hampir 80% budak Melayu lelaki merokok dan 90% dari perokok ini mempercayai brand Marlboro terutamanya pek putih. Entah kenapa. Ini fakta. Alhamdulillah dah hampir 10 tahun Abe berhenti merokok.

Kadang-kadang pensyarah akan turun sama di bawah bangunan meyertai acara kami berbuka puasa. Bermacam soalan yang ditanya. Antaranya kenapa berpuasa? Tak lapar kah? Sebulan penuh? Wow amazing! Ini lah masanya kami budak Melayu yang jahil ini dapat bercerita serba sedikit tentang Islam walaupun tanpa ayat-ayat Quran dan hadis.