Kami kata : Jika tidak ke luar negara, melancong ke Sabah adalah antara destinasi pilihan rakyat Malaysia yang mahukan percutian semua dalam satu. Anda boleh bercuti di kawasan bandar, boleh melakukan aktiviti luar atau lasak ataupun mahu ke tempat yang bersuhu rendah seperti Cameron Highlands. Semuanya pengalaman itu anda boleh rasai hanya dengan melancong ke satu tempat iaitu Sabah.

Kami tertarik untuk menyiarkan artikel tulisan saudara Mohd Imran ini kerana percutian beliau ke Sabah bagi kami adalah unik. Jika sebelum ini anda membaca artikel lain tentang percutian ke Sabah dengan memandu sendiri atau dengan pengangkutan awam tetapi bagi Imran beliau telah memilih untuk menunggang motorsikal untuk mengembara di Kota Kinabalu, Kundasang dan Ranau.


Itinerari ni memang panjang sebab taknak lepaskan segala perincian menarik, jadi pastikan anda dah sediakan tin biskut dekat sebelah.

Itineri Kembara Bermotor Solo
Kota Kinabalu – Ranau – Kundasang – Kota Kinabalu

Assalamualaikum..disebabkan tengok macam ramai je tertarik dengan gambar-gambar trip saya ke Sabah baru-baru ni, jadi kat sini saya nak kongsi pengalaman saya kembara solo di ‘Negeri Di Bawah Bayu’ dan untuk sesiapa yang nak kongsi or ada apa-apa pertanyaan dipersilakan kongsi dan tanya je. Disebabkan perjalanan saya bermula daripada Melaka, Jadi dalam Itinerari ni memang akan bermula daripada Melaka dan berakhir pun di Melaka juga.

Hari Sebelum Kembara

10.00 PM : Bergerak daripada Melaka menggunakan Bas Transnasional
11.30 PM : Sampai KLIA2

Tip

#1.Tiket bas berharga RM24.30, Bas akan turunkan penumpang di KLIA2 Aras 1 dulu sebelum bergerak ke KLIA.

#2.kalau sampai awal sangat dan penerbangan lambat lagi boleh Lepak dekat TheNews.com aras ketibaan dulu sebab ada plug, air panas dan ‘microwave’ so kalau-kalau lapar nak makan maggi atau buat air panas ke.

Hari Pertama

4.30 AM : Bosan dan dah puas tidur pusing-pusing KLIA2 sebelum masuk dalam balai berlepas
6.00 AM : Beratur masuk pesawat AK8712
6.30 AM : Berlepas ke KKIA
9.00 AM : Mendarat di Terminal 1 KKIA
12.00 PM : Sampai di Wisma Sabah untuk ambil motor yang yang dah ditempah (kawasaki klx 150)

desa cattle dairy farm kundasang sabah
(Kiri) Lembu tenusu di Desa Cattle Dairy Farm Kundasang (Kanan) Pemandangan pekan Kundasang

12.30 PM : Bertolak ke ‘Desa Cattle Dairy Farm’ Kundasang
2.00 PM : Tiba di Kundasang dan melawat ke ‘Desa Cattle Dairy Farm
4.00 PM : Bertolak ke Marakau Cabin Lodge, Kg Marakau, Ranau
4.30 PM : Tiba di Marakau Cabin Lodge untuk bermalam dan menikmati pemandangan Gunung Kinabalu.
5.30 PM : Meronda Kg Marakau dan menikmati pemandangan sawah padi dan kawasan sungai yang sudah di’tagalkan’ untuk memelihara ekosistem sungai
6.30 PM : Kawasan sabah dan sarawak mengalami waktu malam yang awal jadi rehat la untuk perjalanan panjang esok.

Tip

kota kinabalu airport transfer
Perkhidmatan bas pengantara dari KKIA ke bandar KK

#3.Keluar balai ketibaan ada pondok untuk bas pengantara darI KKIA ke bandar KK yang akan berhenti di 3 tempat iaitu Horizon, Padang Merdeka dan CentrePoint, bas akan bergerak setiap 30 minit dan tambang berharga RM 5.00 nak lebih murah keluar ke jalan utama dan tunggu bas henti-henti dengan tambang RM 1.50 dan masa perjalanan yang tak menentu, tambang teksi antara RM 20 – 30.00 untuk perjalanan 7 – 8 KM

sewa motorsikal sabah
Motorsikal yang disewa-Kawasaki KLX 150cc

#4.Untuk khidmat sewa motor boleh bukak laman web www.gogosabah.com dan buat pilihan motor apa yang anda nak tapi harus pastikan motor dalam keadaan baik dan selamat sebab untuk perjalanan ke ranau anda harus melalui kawasan mendaki bukit dan berselekoh, pastikan juga motor anda mempunyai cukup kuasa untuk mendaki bukit, sebabnya kebanyakan tempat dalam trip saya ni memang 80% melibatkan kawasan mendaki. dan pastikan anda mengisi minyak penuh sebelum melepasi jambatan Tamparuli kerana selepas itu tiada stesen minyak sepanjang lebih kurang 80 Km sehinggalah tiba di Kundasang.

#5.Desa Cattle Dairy Farm’ dibuka setiap hari dari jam 8 Pagi – 5 Ptg dan tiket masuk berharga RM 5.00, aktiviti boleh dilakukan seperti memberi kambing makan rumput dan menyusukan anak lembu serta melihat sendiri proses menyusukan lembu. aktiviti lain haruslah bergambar puas-puas dan mencuba susu segar disini.

#6.Jarak masa antara Pekan Kundasang ke Pekan Ranau dalam 30 minit dan lebih banyak kedai terdapat di Pekan Ranau berbanding Kundasang.

marakau cabin lodge
Marakau Cabin Lodge

#7.Untuk Penginapan di Marakau Cabin Lodge bolehlah berhubung dengan Mr. Gilbert (019-831 2232) dan pastikan membuat tempahan awal kerana buat masa ini hanya ada 3 kabin tersedia dan 1 kabin dalam pembinaan.

#8.Sekiranya letih untuk keluar beli makanan pada waktu malam boleh beli siap-siap dalam perjalanan ke tempat rehat kerana kebanyakan kedai tutup awal disini dan susah untuk jumpa kedai mamak.

Hari Kedua

8.00 AM : Daftar keluar, sarapan dan bergerak ke Ladang Teh Sabah.
8.30 AM : Tiba di Ladang Teh Sabah dan bergambar di kawasan sekitar.

tagal sungai moroli fish spa
Tagal Sungai Moroli Fish Spa

9.00 AM : Tiba di Tagal Sg Moroli, Kg Luanti (50 Meter sebelah kiri pintu masuk Ladang Teh Sabah)
10.30 AM : Bergerak ke Kolam Mata Air Panas Poring
11.00 AM : Tiba Di Kolam Air Panas Poring dan lakukan aktiviti berjalan di titian kanopi, berehat di air terjun kipungit, mendaki ke gua kelawar dan merendam kaki didalam kolam air panas
2.30 PM : Bertolak ke Taman Kinabalu
3.00 PM : Tiba di Taman Kinabalu dan bergambar di pintu masuk Timpohon Gate dan berehat sebentar menikmati kesejukan angin.
4.30 PM : Bergerak ke Hounon Ridge Farmstay Kundasang
5.30 PM : Tiba di Hounon Ridge, Daftar masuk dan berehat

Tip

#9.Untuk masuk ke Ladang Teh Sabah adalah percuma tetapi untuk masuk ke kawasan kilang harus mengikut operator yang disediakan dan bayaran adalah RM 14.00 seorang

tagal sungai moroli
(Kiri) Jambatan gantung di Tagal Sungai Moroli Fish Spa (Kanan) Air yang jernih di Sungai Moroli

#10.Pergi ke Tagal Sg Moroli pada hari bekerja dan nikmati masa anda sepuasnya kalau bernasib baik kerana saya pergi hari khamis dan masih awal pagi jadi pengunjung yang datang tidak ramai maka bergambarlah puas-puas sampai saya tak sedar yang pengunjung lain dah balik dan tinggal saya sorang sahaja,masa diperuntukkan seorang pengunjung hanyalah 15 minit, tiket masuk berharga RM3.00 dan kamera RM 5.00 (berkumpulan)

#11.Tiket Kolam Air Panas Poring berharga RM 3.00 dan boleh digunakan pada hari yang sama memasuki Taman Kinabalu, aktiviti patut dicuba disini ialah berjalan di titian kanopi sepanjang lebih kurang 130 meter dan setinggi 30 meter, tiket ke titian kanopi berharga RM 5.00 dan kamera RM 3.00

#12.sekiranya masih bertenaga selepas berjalan di titian kanopi anda boleh melalui denai ke Air Terjun Kipungit dan merasai kesejukan air terjun semulajadi sambil kaki anda digigit-gigit ikan kecil, jarak dari kaunter tiket laluan kanopi lebih kurang 450 meter ke air terjun Kipungit

#13.Sekiranya masih ada tenaga anda boleh teruskan perjalanan dengan mendaki lebih kurang 300 meter lagi untuk ke Gua Kelawar dan menikmati angin sejuk yang keluar daripada gua berkenaan.

#14.Lepas dah penat berjalan barulah berbaloi rendam kaki dalam kolam air panas untuk lembutkan balik urat-urat kaki, dekat kolam air panas ni ada 2 paip untuk air panas dan sejuk, pandai-pandai la laraskan suhu supaya tak jadi kaki rebus pulak nanti

pondok timpohon
(Kiri) Di atas titian kanopi (Kanan) Pondok Timpohon pintu masuk sebelum pendakian kepuncak Gunung Kinabalu

#15.Daripada kaunter tiket kinabalu park sepatutnya tak dibenarkan pengunjung membawa kenderaan sendiri ke Timpohon Gate tapi mungkin disebabkan saya sampai dah agak petang dan tiada orang yang jaga jadi apa lagi, pecutlah ke puncak hehe. dalam perjalanan boleh singgah bergambar di ‘kiau gap’ tapi disebabkan berkabus jadi takdelah gambar pemandangan.

#16.Sebelum ni pengunjung dibenarkan masuk sehingga ke air terjun ‘Carson Fall’ yang terletak lebih kurang 500 meter daripada Timpohon Gate, tapi selepas tragedi gempa bumi pengunjung tak dibenarkan lagi masuk kecuali pendaki sahaja, jadi rehat la puas-puas menikmati udara segar daripada ketinggian 1,866.4 Meter

hounon ridge farmstay ranau sabah
Hounon Ridge Farmstay

#17.Jalan ke Hounon adalah jalan mendaki paling mencabar pernah dilalui kerana selain jalan yang rosak dan berlubang jalannya juga curam, bila melalui jalan ni perasaan yang akan dirasakan ialah ‘betul ke jalan ni?’ haha..sebenarnya kalau anda masuk daripada simpang ke Kampung Bundu Tuhan anda telah melalui jalan yang betul, ikut sahaja penanda atas jalan sehingga anda nampak penanda 10.00 km kemudian masuk kiri dan teruskan perjalanan lebih kurang 300 meter sebelum sampai ke Hounon

#18.Dorm di Hounon berharga RM 35.00 satu malam dan pada hari saya daftar masuk hanya ada saya seorang sahaja duduk dalam dorm yang disediakan untuk 10 orang. dorm lelaki dan wanita berasingan dan tandas disediakan di luar dorm, pemandangan dorm sangat menakjubkan kerana terus ke gunung kinabalu

pemandangan gunung kinabalu
Pemandangan Gunung Kinabalu dari Hounan Ridge Farmstay

#19.Angin malam sangat sejuk disini mungkin itu sebab dalam dorm tiada kipas, kalau anda nampak anjing di sekeliling dorm tak perlu lari kerana anjing-anjing disini tak kisah pun dengan anda, bintang sangat banyak disini dan lebih kurang jam 10-11 malam jarak pemandangan akan terhad lebih kurang 50 meter bergantung pada nasib kerana kabus tebal.

#20.Untuk tempahan di Hounon Ridge, boleh berhubung dengan Mr. John (013-850 6463)

Hari Ketiga

9.00 AM : Daftar Keluar, Sarapan dan bergerak ke kundasang untuk mengisi minyak
9.30 AM : Tiba di Kundasang dan isi minyak
9.45 AM : Bergambar di Crytal Hills
10.30 AM : Bergerak ke Kota Kinabalu
12.00 PM : Tiba di Rumah Terbalik Tamparuli dan berehat
1.30 PM : Bergambar di Jambatan Gantung Tamparuli
1.45 PM : Bergerak ke KK
3.00 PM : Tiba di Signal Hill dan mengambil gambar bandar KK
3.30 PM : Daftar masuk Pods Backpackers dan rehat
4.30 PM : Bergerak ke Kokol Heaven Resort.
5.00 PM : Tiba di Kokol Heaven Resort
5.30 PM : Bergerak balik ke dorm dan berehat
10.00 PM : Makan malam di Welcome Seafood, Starcity
11.00 PM : Rehat

Tip

#21.Stesen Minyak di Kundasang ada 1 sahaja yang nampak, kalau daripada arah Taman Kinabalu buat pusingan U di Bulatan Kobis dan turun bukit di sebelah kiri

crystal hill sabah
Crystal Hill, Sabah

#22.Untuk ke crystal hill, dari arah Taman Kinabalu ambil arah jam 3 di Bulatan Kobis dan buat pusingan ke kiri selepas masuk simpang kemudian ikut papan tanda ke crystal hill resort. lokasi untuk ambil gambar menarik pekan kundasang adalah di sebelah kiri jalan lebih kurang 20 meter di belakang papan tanda jarak crystal hill terletak 100 meter lagi

#23.Tiket masuk ke Rumah Terbalik Tamparuli RM 10.60, tapi tak boleh bergambar di dalam rumah cuma luar kawasan saja. jadi terpulang nak masuk atau tak.

jambatan tamparuli
(Kiri) Jambatan Tamparuli (Kanan) Pemandangan Bandaraya Kota Kinabalu

#24.Jambatan gantung Tamparuli terletak di sebelah kiri jalan sekiranya anda datang dari arah bulatan Tuaran dan berhadapan dengan Chantek Borneo Gallery.

#25.Laluan masuk ke Signal Hill boleh diakses melalui Padang Merdeka ataupun melalui laluan Kota Kinabalu Wetland.

#26.Untuk ke Kokol Heaven Resort ikut arah ke Menggatal sehingga jumpa Sg Menggatal dan teruskan perjalanan lebih kurang 1 Km kemudian ikut arah kanan dan teruskan perjalanan mendaki lebih kurang 10 Km, lebih menarik pergi pada jam 4.30 Ptg untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.

#27.Aktiviti malam terpulang pada anda untuk makan di mana, tapi digalakkan mencari tempat yang bersih kerana sekitar kawasan Sinsuran dan Pasar Besar Kota Kinabalu memang terdapat banyak kedai yang menjual makanan laut yang murah tetapi kawasan tidak bersih.

Hari Terakhir

9.00 AM : Daftar keluar dan sarapan di Pasar Besar Kota Kinabalu
10.00 AM : Melawat ke Tugu Peringatan Double 6
10.30 AM : Berjalan di kawasan Shangri La Tanjung Aru Resort
11.00 AM : Melawat Muzium Negeri Sabah
1.30 PM : Melawat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
2.00 PM : Membeli belah di Pasar Kraftangan KK
2.30 PM : Menonton Wayang di Centre Point
5.00 PM : Melihat matahari terbenam di Tanjung Aru
6.30 PM : Bertolak ke airport
8.10 PM : Bertolak balik ke KLIA2 menaiki penerbangan AK8715
10.45 PM : Tiba di KLIA2
11.30 PM : Bertolak balik ke Melaka menaiki bas Starmart

Tip

#28.Harga sarapan di Pasar Besar KK murah dan 1 hidangan boleh dimakan berdua sekiranya anda tidak kuat makan.

masjid di sabah
(Kiri) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (Kanan) Tugu Peringatan Double 6

#29.Tugu peringatan Double 6 sebenarnya adalah lokasi kapal terbang yang dinaiki oleh Tun Hj Mohd Fuad Stephen (Ketua Menteri Sarawak) yang terhempas pada 6 Jun 1976

#30.Kawasan Shangri La juga mempunyai pemandangan matahari terbenam yang menarik selain daripada pantai Tanjung Aru

#31.Tidak lengkap berjalan ke tempat orang kalau tidak ke Muzium. ambil masa anda untuk berjalan di sekitar muzium dan menghayati sendiri pembangunan Jesselton a.k.a bandar Kota Kinabalu.

#32.Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dibina di atas air dan kelihatan seolah-olah terapung, sesuai dilawati pada waktu petang sekiranya anda meminati fotografi

#33.Di Pasar Kraftangan KK terdapat ramai peniaga menjual produk mutiara asli Sabah, tips untuk mendapat harga murah ialah menjadi pelanggan pertama ataupun pujuk la penjual suruh bagi diskaun hehe.

#34.Disebabkan waktu penerbangan balik ditunda 2 jam untuk menunggu pertukaran kapal terbang lebih besar, habiskanlah masa untuk menonton wayang sebab dah habis pusing bandar KK, Selain CentrePoint boleh juga berjalan-jalan di Suria Sabah, Imago ataupun Oceanus Shopping Centre.

sunset in kota kinabalu
Pemandangan matahari terbenam di Kota Kinabalu

#35.Menikmati matahari terbenam di Tanjung Aru adalah pemandangan yang menyerokkan untuk mengakhiri percutian di Sabah, pastikan anda tidak terlepas peluang ini.

Perbelanjaan

Pecahan perbelanjaan tetapi tidak termasuk perbelanjaan untuk makan dan minum serta membeli belah.

  • Tiket bas Melaka – KLIA = RM 24.30 (Transnasional)
  • Tiket penerbangan pergi dan balik = RM 95.00 (Air Asia)
  • Makanan dalam penerbangan pergi dan balik = RM 25.00
  • Sewa motor 3 Hari = RM 210.00
  • Perbelanjaan minyak = RM 24.00
  • Penginapan
    • Marakau Cabin Lodge = RM 70.00
    • Hounon Ridge Kundasang = RM 35.00
    • Pods Backpackers KK = RM 35.00
  • Tiket masuk Desa Cattle Dairy Farm = RM 5.00
  • Tiket masuk ke Tagal Sg Moroli = RM 5.00 + RM 3.00 (kamera)
  • Tiket masuk Kolam Air Panas Poring = RM 3.00 (simpan tiket)
  • Tiket masuk Laluan Kanopi = RM 5.00 + RM 3.00 (kamera)
  • Tiket masuk taman kinabalu = tunjukkan tiket masuk di Poring
  • Tiket masuk Muzium Sabah = RM 2.00

Jumlah keseluruhan tidak termasuk makan = RM 568.60

* Kos tinggi untuk pengangkutan kerana tidak berkongsi, tetapi terdapat motor yang lebih murah dengan CC yang rendah.

* Tiket dibeli 2 minggu sebelum penerbangan

2 COMMENTS