Roadtrip Mengelilingi Malaysia Sejauh 4684km Dalam 4 Minggu Dengan Motorsikal

0
2270

Ohkembara : Assalamualaikum,terima kasih kerana sudi menerima jemputan kami untuk ditemuramah. Boleh kami dapatkan maklumat  tentang latar belakang  diri anda?

Nama saya Muhammad Hanis Hafizuddin Bin Anuar berasal dari Ipoh, Perak dan berumur 23 Tahun. Saya merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik. Saya suka mengembara dan mengambil gambar.

Ohkembara : Baru-baru ini anda telah melakukan roadtrip mengelilingi Malaysia selama 4 minggu, apa yang membuatkan anda mahu berbuat demikian.

Sebenarnya saya dah lama dah nak travel pusing satu semenanjung ni. Tujuannya nak tengok tempat menarik di Malaysia, sebab saya ada baca 1 blog omputih dia cakap Malaysia ni membosankan. Jadi saya pun cubalah travel pusing 1 semenanjung dan terbukti kata-kata bloggers matsalleh tu memang salah 1000%.

Ohkembara : Dari rakaman video yang anda kongsikan, anda memilih motorsikal sebagai pengangkutan untuk kembara anda. Mengapa anda memilih motorsikal berbanding kereta ataupun pengangkutan awam?

Pada mulanya saya nak travel menggunakan public transport. Tapi saya kira budget saya yang ciput ni. Kalau asyik-asyik naik public transport takut lari budget. Jadi saya memilih pakai Motorsikal saya EGO LC untuk jelajah semenanjung. Perbelanjaan pun tak banyak sangat.

Ohkembara : Bagaimana anda merancang perjalanan anda? Adakah anda mempunyai itinerari yang perlu diikuti setiap hari ataupun bebas?

Perancangan sebenarnya takde la sangat. Sebab setiap tempat yang saya pergi semuanya ada kawan. Kawan-kawan biasa suggest tempat-tempat yang menarik. Kalau tiada kawan kita buat kawan, sambil-sambil tu tanya apa tempat menarik di kawasan-kawasan sekitar mereka. Berikut adalah route yang saya lalui sepanjang perjalanan saya :

Ipoh – Georgetown – Alor Setar – Padang Besar – Pulau Langkawi – Kota Bharu – Pulau Perhentian – Kuala Terengganu – Dungun – Kuantan – Kota Tinggi – Tangkak – Melaka – Port Dickson – Bukit Tinggi – Cameron Highland – Tapah – Gua Tempurung – Gopeng – Ipoh – UTHM.

Ohkembara : Apakah persiapan yang anda buat sebelum roadtrip tersebut?

Persiapan saya dengan berbekal budget RM1500 sahaja. Yang lain tu semua gamble je. Saya makan nasi bujang + air kosong untuk kurangkan perbelanjaan. Daripada segi penginapan, kebanyakan tidur dirumah kawan-kawan belajar, sepupu dan saudara mara. Cuma di Pulau Pinang tidur hostel 3 malam RM48, Langkawi 2 malan RM32 dan Melaka 1 malam RM11.

Ohkembara : Pengalaman yang anda tidak dapat dilupakan sepanjang roadtrip anda?

Benda yang tak boleh lupakan, saya explore tempat-tempat yang jarang orang tahu dengan mat salleh. Kemudian pengalaman di Pulau Perhentian, sebab main ambil pakej tanpa dirancang kemudian dapat satu kumpulan dengan 6 orang perempuan. Nak jaga diorang tu, hanya tuhan sahaja yang tahu.

Ohkembara : Apa benda baru yang dapat anda pelajari dari roadtrip anda yang anda dapat kongsikan dengan kami?

Banyak sangat, terutama sekali saya belajar cara nak berkomunikasi dengan berbagai jenis orang. Juga daripada segi masa kena punctual dan belajar cara mengurus kewangan saya dengan lebih baik.

Ohkembara :  Anda mempunyai tip/panduan yang anda boleh kongsikan kepada pengembara lain yang mahu melakukan roadtrip seperti anda?

Kepada anak muda yang lain, facing your fear, jangan takut. Kalau takut memang tak akan jadi. Jadi anda kena cuba sebab banyak pengalaman yang anda akan dapat. Jangan risau duit tak cukup ke apa. Pergi lah mengembara.

Ohkembara :  Ada perancangan untuk melakukan roadtrip lain dalam masa terdekat ? Mungkin melakukan roadtrip ke luar Negara pula ataupun sabah/sarawak?

In sha allah, dalam perancangan awal tahun ni. Saya nak ke Indonessia, secara solo. Tapi kalau ada yang nak ikut pun tiada masalah. Trip 3 minggu, semasa cuti semester.

Ohkembara : Soalan terakhir, jika anda diberikan tiket penerbangan percuma ke mana-mana destinasi di seluruh dunia, destinasi mana menjadi pilihan anda dan mengapa anda memilih destinasi tersebut?

Sebenarnya dah lama dah saya nak pergi ke Mekah. Nak juga menunaikan tanggungjawab sebagai orang islam, nak buat umrah dan doa supaya dipertemukan jodoh cepat.

Ohkembara : Terima kasih atas perkongsian anda. Diharapakan dapat memberikan inspirasi untuk pengembara lain.

Sama-sama, maaf kalau ada salah silap.